Dikenali sebagai Little Hajj 2019, program simulasi yang pernah direkodkan dalam Malaysia Books of Record pada tahun 2017 ini merupakan penganjuran kali keempat oleh Little Caliphs International Sdn Bhd (LCISB).
Seramai 6,211 murid-murid Tadika Little Caliphs dari zon tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) menjalani simulasi haji di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) di sini, serentak dengan murid-murid dari bahagian utara, Melaka dan Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Simulasi di MAEPS yang melibatkan 692 orang guru yang bertugas sebagai mutawwif dan 160 orang pengusaha mewakili 410 buah tadika seluruh Malaysia, dirasmikan oleh isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhammad.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LCISB, Roslan Nordin objektif utama Little Hajj adalah untuk memperkasa syiar Ibadah Fardhu Haji dengan praktikal yang jelas kepada murid-murid menerusi kaedah pembelajaran secara simulasi dan pendekatan metadologi Project Based Learning hands-on The Little Caliphs Programme.
“Meskipun ia hanya simulasi haji, namun para peserta turut memakai ihram, berwukuf di Arafah, tawaf sekeliling replika binaan Kaabah, sa’ie berlari anak antara Safa dan Marwah, mengutip batu, melontar ketiga-tiga jamrah dan bergunting (tahallul),” jelas beliau.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment